Assalamualaikum...
Setiap orang pasti menginginkan hidup bahagia. Namun banyak orang yang menempuh jalan yang salah dan keliru. Sebagian menyangka bahwa kebahagiaan adalah dengan memiliki kenderaan mewah, Handphone sekelas Blackberry, memiliki rumah bagai istana, dapat melancong ke luar negeri, dan sebagainya. Mereka menyangka bahwa inilah yang dinamakan hidup bahagia. Namun apakah betul seperti itu?
Nikmat dunia yang sering dikejar manusia termasuklah kekayaan dan anak keturunan. Ya, kedua-dua nikmat inilah yang akan menguji manusia di dunia ini. Andai tiada benteng pertahanan yang kukuh, maka kita akan lalai dan berasa asyik untuk mengejarnya. Betapa banyak kita melihat kini ramai manusia yang meletakkan nilai material sebagai ukuran kejayaan hidup. Tidak dinafikan harta itu penting dalam memastikan kelangsungan hidup. Namun, apabila ia menjadi matlamat hidup dan diusahakan siang dan malam, maka tersasarlah manusia dari tujuan utama kehidupan iaitu untuk mencari redha-Nya.
Kelalaian kepada perintah Allah s.w.t. antaranya kerana harta yang kita miliki, seperti anak-anak dan harta kekayaan. Harta merupakan satu anugerah kepada manusia dan menjadikan jiwa mereka tenang dan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Namun Allah s.w.t. mengingatkan kepada kita apabila memiliki harta dunia ini jangan sampai melalaikan tanggungjawab kepada Allah s.w.t. seperti solat, puasa, zakat dan ibadah haji. Begitu juga dengan ibadah sosial seperti menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan. Amatlah berdosa jika harta tersebut digunakan untuk perkara yang mungkar dan maksiat. Sebagai manusia yang tidak terlepas daripada cubaan-cubaan dunia perlu kembali kepada tujuan kita dihidupkan, peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama. Begitu juga peraturan-peraturan dalam perundangan, muamalah, jenayah, perkahwinan, akhlak mulia yang berkait-rapat dalam kehidupan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Allah telah menjelaskan mengenai kebaikan-kebaikan kebendaan di dunia. Allah juga mencela keduniaan ini dan melarang kita jangan sampai tertipu oleh keindahan dan keseronokan.
Dalam hal ini Allah swt berfirman:
" Ketahuilah olehmu semua bahawasanya kehidupan dunia itu tiada lain kecuali permainan dan senda gurau, perhiasan serta bermegah-megahan antara sesama kamu semua, juga merupakan perlumbaan untuk mencari yang lebih banyak perihal kekayaan dan anak-anak. Keadaan semacam itu dapatlah dijadikan perumpamaan sebagaimana hujan yang membuat keherannan atau ketakjuban kepada para petani di saat melihat tumbuh tanamannya.
Tetapi tidak lama sesudah itu tanaman tersebut menjadi kering dan kamu dapat melihat warnanya menjadi kuning dan selanjutnya hancur lebur, musnah dan binasa. Pada saat berada di akhirat nanti akan ditemui siksa ynag sangat pedihnya yakni bagi orang-orang-orang yang salah menempuh jalan yang benar ketika di dunia, sedangkan ampunan dan keredhaan dari Allah adalah diperuntukkan orang-orang yang Mukmin dan megerjakan kebaikan. Memang kehidupan di alam dunia ini tiada lain keculai suatu kesenangan yang dapat menipu setiap orang yang tidak beriman."
- (Surah Al Hadid: 20)
Satu perkara yang perlu kita fikirkan ialah, harta dunia ini hanya sementara, kelak ia akan ditinggalkan. Hanya amalan kita yang menjadi bekal untuk dibawa menghadap-Nya. Tanpa sedikit pun diabaikan, setiap butir bicara, amalan dan gerak hati kita akan dihitung. Takut. Itu pasti, risau, dan mencemaskan. Itu perasaan yang patutnya hadir dalam jiwa bila mengingatkan mati dan mengenangkan amalan kita selama ini. Setiap detik kita semakin hampir dengan kematian.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu (1)sedekah jariah atau (2)ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau (3)anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Kehidupan di dunia hanya sementara. Kita akan menuju ke alam yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Segala yang dimiliki di dunia akan ditinggalkan dan menjadi sia-sia kecuali tiga perkara iaitu anak soleh yang mendoakan, ilmu yang bermanfaat disampaikan kepada orang lain dan harta yang disedekah untuk manfaat orang lain.
Letaknya kebahagiaan bukanlah dengan memiliki istana yang megah, kereta yang mewah, harta yang melimpah. Namun letak kebahagiaan adalah di dalam hati, yaitu hati yang memiliki keimanan, yang selalu merasa cukup dan selalu bersandar pada Allah Ta’ala.
Kejayaan bagi seseorang mukmin ialah apabila bersungguh-sungguh menguruskan kehidupan mereka mengikut panduan al-Quran dan sunah dan mereka pulang kepada Allah s.w.t. di dalam keimanan dan ketaqwaan.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan memberikan kita syurga dunia yaitu dengan memiliki hati yang selalu bersandar pada-Nya. Hati yang selalu merasa cukup itulah yang lebih utama dari harta yang begitu melimpah.
Apakah yang dikejar dalam hidupmu
Berkali ku kata padamu
Kita singgah di dunia yang sementara
Penuh tipu daya
Yang kekal disana
Biarlah kita bersama
Usahlah hanyut
Terus terlena
Kerana dunia
Nota Kaki ::
- hasil kompilasi daripada beberapa tazkirah dan petikan yang dikumpulkan daripada laman sesawang lain sekadar peringatan buat diri sendiri dan perkongsian bersama teman-teman sekalian.