Assalamualaikum.
6 Oktober 2012
|
Mercu tanda Bandar Mersing. |
3.00 pm - Bermulalah perjalanan ke Mersing bersama isteri tercinta. Perjalanan yang memakan masa selama 2 jam lebih memang mengujakan. Yelah, pertama kali hendak berkhemah bersama isteri mestilah rasa seronok bukan. Aku memandu secara santai sahaja. Cuaca pula mendung dan sekali sekala hujan renyai. Kiri kanan jalan dipenuhi kebun kelapa sawit dan hutan yang menghijau. Sungguh nyaman dan mendamaikan.
|
Pantai Teluk Gorek |
Kami tiba di Pantai Teluk Gorek hampir pukul 6 petang dalam hujan gerimis. Masih ramai pengunjung yang datang berkelah dan mandi manda di pantai tersebut. Dari jauh kelihatan kawasan pantai Teluk Gorek Chalet & Camp Site yang penuh dengan pengunjung. Riuh rendah dengan suara mereka yang menjalankan aktiviti. Kawasan tapak perkhemahan mereka pula telah penuh dengan khemah yang telah dipasang. Aku batalkan hasrat untuk menyewa tapak perkhemahan tersebut kerana inginkan privasi.
Jadi, aku tinjau dulu disekitar kawasan pantai bagi mencari tapak yang sesuai untuk mendirikan khemah. Namun tapak yang aku rasa sesuai masih dipenuhi pengunjung yang datang berkelah. Jadi, aku pergi dulu membeli nasi goreng untuk makan malam di kawasan berhampiran sementara menunggu pengunjung yang datang berkelah beredar. Walaupun lewat tidak menjadi masalah bagi aku kerana semua peralatan aku telah tersedia termasuklah kayu api untuk dibuat unggun. Tidak perlu bersusah payah dan mengambil masa untuk mencari kayu api.
|
Singgah sebentar warung di tepi jalan 'menapau' nasi goreng. |
Kami datang kembali ke Pantai Teluk Gorek pada pukul 6.30 petang. Ramai pengunjung telah beredar dan tapak yang kami pilih telah kosong. Tidak jauh dari tapak yang kami pilih terdapat sekumpulan yang terdiri daripada beberapa keluarga juga berkhemah di situ. Tanpa membuang masa aku terus mendirikan khemah dan menghidupkan unggun api kerana memandang hari yang semakin gelap. Isteri pula sibuk menyusun dan mengemaskan barang-barang yang lain.
|
Khemah kami di waktu malam. |
Bila malam menjelma kami mula memanggang sosej ayam berkeju dan bebola sotong yang dibawa. Aku masak air dan isteri buatkan air coklat panas. Kami bersantai menikmati makan malam nasi goreng yang dibeli pada petang tersebut bersama-sama sosej dan bebola yang dipanggang berserta minuman air coklat panas. Dari jauh kedengaran aktiviti karaoke dari kawasan Teluk Gorek Chalet n Camp Site.Tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan kerana kekangan waktu malam yang membataskan penglihatan kami. Kami hanya duduk berbual di depan ungun api dan menonton video di 'PSP China' aku sebelum kami masuk tidur.
MISTERI YANG MENGGANGGU TIDUR
Mengalami peristiwa misteri merupakan perkara biasa bagi mereka yang gemar berkhemah. Oleh itu, persediaan dari segenap aspek amat penting sebelum mengikut sebarang aktiviti perkhemahan. Begitu juga dengan kami, sesuatu telah mengejutkan kami pada pukul 2 pagi. Suara jeritan beberapa orang wanita telah menyebabkan aku dan isteri terjaga. Jeritan yang terdengar jauh itu berlaku beberapa kali dalam jarak masa yang rapat. Alhamdulillah tiada perkara lain yang berlaku dan kami suami isteri tidak pula merasa seram atau gerun. Kami membuat andaian bahawa suara jeritan itu datangnya dari kawasan Teluk Gorek Chalet n Camp Site di mana mungkin mereka sedang melakukan aktiviti larut malam. Cuma yang peliknya suara jeritan berlaku sekejap sahaja setiap kali dan tidak disusuli dengan suara kekecohan. Jika mereka sedang beraktiviti mestilah disusuli dengan suara kekecohan. Setelah keadaan kembali sunyi dan sepi aku keluar khemah bagi menambah kayu api pada unggun yang hampir padam. Selepas itu kami sambung tidur seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Bersambung di
Hari Kedua Di Mersing.....
0 komen:
Catat Ulasan