Hari Kedua Di Mersing

7 Oktober 2012

Suasana Teluk Gorek di waktu pagi.

Khemah kami yang kelihatan dari pantai.

Selepas peristiwa yang membuatkan kami terjaga pada tengah malam tu, kami telah tidur kembali dengan nyenyak sekali tanpa gangguan. Aku sedar pagi tersebut pada pukul 6.30 pagi. Matahari terbit tidak kelihatan kerana disebabkan langit yang berawan tebal. Atau mungkin juga aku terlepas kerana terlewat bangun dan bersiap-siap.

Jom main masak-masak.
Lepas bersiap aku hidupkan kembali api yang tinggal bara untuk masak air dan menyediakan sarapan. Kami bersarapan roti bersama tuna pedas dan air coklat panas lagi. Nyaman dan sungguh segar pagi itu aku rasakan. Sempat kami bersiar-siar di pantai dan bermain air sebentar di pantai yang sangat landai.

 


Lupa aku nak ceritakan bahawa di kawasan tersebut sememangnya terdapat tandas dan bilik air awam. Tapi sayangnya tandas tersebut telah rosak akibat tidak dijaga dengan baik. Inilah salah satu sikap rakyat Malaysia yang membuatkan aku malu. Kesedaran mentality kebanyakan orang kita masih dibawah tahap rendah (teruk sangat). Kebanyakan tandas awam di negara-negara seperti Korea dan Jepun jauh lebih bersih dari tandas rumah kebanyakan orang kita.

Pagi itu isteri aku ingin ke tandas. Jadi aku tunggu di khemah dan menyuruh isteriku memandu sendiri mencari tandas yang boleh digunakan dan juga mengambil stok air bersih kami yang kehabisan. Sementara menunggu puan isteri balik, aku bersiar-siar dahulu di sekitar pantai Teluk Gorek tersebut. Agak lama juga aku menunggu dia pulang. Rupa-rupanya puan isteri pergi sampai ke surau di Penyabong.



Bila puan isteri pulang, kami bermandi manda sebentar di laut. Setelah puas bermandi manda kami bersiap dan berkemas untuk makan angin di bandar Mersing pula. Khemah dan barang-barang kami siap dikemas pada pukul 10.30 pagi dan sempat kami bergambar kenangan sebelum bertolak ke Mersing.

Sekitar Jeti dan Pantai Penyabong


Sebelum bertolak balik ke Mersing kami bersiar-siar dulu di Pantai Penyabong. Kami singgah sebentar di warung di tepi Pantai Penyabong tersebut bagi menghilangkan dahaga sambil makan sata yang sedap dan pedas yang dijual gerai berhampiran. Setelah itu kami bersiar-siar di jeti Penyabong di mana nelayan persisir pantai mendaratkan ikan dan juga pelancong turun ke laut untuk memancing. Sempat kami bergambar kenangan sebelum bergerak ke Pantai Pasir Lanun untuk meninjau-ninjau.


 
Gambar-gambar sekitar Pantai Pasir Lanun dan kemudahan di Pasir Lanun Camp & Chalet. 
 
Jalan masuk ke Pasir Lanun Camp & Chalet.
Perjalanan ke Pasir Lanun.

Pantai Pasir Lanun sebenarnya boleh dikatakan sebuah pantai persendirian di mana letaknya Pasir Lanun Camp & Chalet. Selain Teluk Gorek Chalet & Campsite, Pasir Lanun Camp & Chalet ini juga sangat menarik untuk menjalankan sebarang aktiviti perkhemahan atau program motivasi kerana kemudahannya yang lengkap. Kedudukannya yang agak jauh ke dalam dan terpaksa melalui hutan pantai dan jalan berbatu pasti akan memberikan anda percutian yang sangat privasi dan menarik.



Perjalanan balik ke Mersing kami melalui jalan pantai yang baru yang terus sampai di pantai Air Papan. Kiri dan kanan perjalanan kami dipenuhi hutan simpan yang menghijau dan juga lautan yang membiru. Kami singgah sebentar di sebuah pantai setelah terlihat papan tanda Pantai Rekreasi. Pantai ini masih baru dibuka dan mungkin masih belum diberi nama kerana papan tandanya hanya bertulis Pantai Rekreasi. Pantai ini sungguh bersih dan belum terusik sangat oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

 

Tidak lama kami di Pantai Rekreasi tersebut kami meneruskan perjalanan hingga ke pantai Air Papan / Teluk Godek. Kali terakhir aku sampai ke sini sebelum ini aku lihat kawasan pantai Air Papan ini agak kotor dengan sampah sarap dari pengunjung yang datang ke sini. Namun kunjungan aku kali ini pantainya agak bersih dan prasarana sudah dinaik taraf sedikit. Setelah bersiar-siar di pantai tersebut dan mengunjungi gerai menjual cenderamata di sana kami bertolak pula ke Bandar Mersing.

Tiba di Bandar Mersing kami singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor dan hasil makanan dari laut yang terdapat di sepanjang pantai dan kuala sungai Mersing. Kami membeli keropok lekor yang sudah siap di goreng dan sata. Memang terasa kesedapan keropok lekor dan sata Mersing ni. Puan isteri pula membeli sotong kering pedas yang dijual di situ.

 


Kemudian kami melawat pula Plaza D' Jeti melihat cenderahati-cenderahati yang dijual di sana. Kebanyakan cenderahati yang dijual di sini bertulis Tioman kerana Plaza D' Jeti ini terletak bersebelahan Jeti Mersing yang bertempat di muara Sungai Mersing. Di mana jeti ini merupakan tempat pelancong menaiki feri untuk ke Pulau Tioman. Setelah bersiar-siar melihat t-shirt dan cenderahati yang dijual, puan isteri tercinta tertarik dengan soft toy penyu/kura-kura dan keychain penyu yang dijual. Jadi dia hanya membeli 'seekor' kura-kura dan dua keychain penyu. Aku pula hanya beli cermin mata gelap 'Gangnam Style' yang Glow In The Dark berjenama RayBan ciplak berharga RM15 sahaja berserta casing jenis uncang daripada pvc lembut. Haha...


Setelah kami bergambar kenangan di hadapan Plaza D' Jeti, kami pun berangkat pulang ke Batu Pahat. Jam ketika itu menunjukkan pukul 3 petang. Kami tiba di Senggarang pada pukul lima lebih dan malam itu kami bermalam di rumah mertuaku.

Sekian sahaja kisah percutian kami. Terima kasih kerana sudi membaca.




0 komen:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...