Assalamualaikum.
Sementara menunggu cik tunang kesayanganku pulang dari kerja, aku nak berkongsi dengan korang semua tentang 2 siri novel fantasi melayu yang baru aku google pagi tadi dan juga satu siri novel fantasi yang pernah aku kongsikan suatu ketika dahulu. Ketiga2 siri saga novel tersebut kini sudah masuk dalam senarai bahan2 bacaan yang sedang dalam pencarian aku. Berikut adalah novel2nya :
1. Pendeta Gua Khayalan karya Masdalifadzlie M Saaid
Pendeta Gua Khayalan adalah novel pertama daripada trilogi Kembara Lang Surya (KLS). Kisah ini bertunjang pada tiga watak utama - Lang Surya, Rimau Seru dan Cempaka Suri, masing-masing dengan konflik tersendiri.
Konflik Lang Surya dengan ibunya menjadi topik utama. Setelah diusir oleh ibunya, dia bertekad mencari ayahnya, Lang Merah - bekas Laksamana Utama Indera Wangsa yang diyakini masih hidup walaupun ramai yang mengatakan ayahnya telah mati ditelan sihir Hutan Jardi. Dia percaya, ayahnya dapat menjernihkan kembali hubungannya dengan ibunya. Dari detik itu, bermulalah pengembaraan penuh magis dan teka-teki. Waizuri Rengga Api mencadangkan agar dia mencari seorang pendeta di pergunungan Tujupuri, bagi mendapatkan maklumat tentang ayahnya. Namun jalan yang memimpin ke arah pendeta itu tidaklah semudah yang dirancang. Godaan-godaan khayalan harus ditempuh sebelum dia bisa bertemu pendeta yang mendiami Gua Khayalan di Banjaran Tujupuri.
Rimau Seru adalah seorang pembunuh upahan yang setia pada prinsip yang unik. Setelah membunuh gurunya sendiri, dia mengembara ke seluruh Indera Wangsa bagi mencari sesuatu yang sangat diidamkan. Sewaktu di Indera Puspa, dia didatangi oleh seorang pengupah yang inginkan dia membunuh keluarga Lang Merah, tetapi Rimau Seru menolak upahan itu. Dia mahu meninggalkan dunia seorang pembunuh upahan. Seorang nenek tua di Indera Nila memberikan klu kepada pencariannya, dan dia bermati-matian mempertaruhkan nyawa bagi merebut pencariannya.
Cempaka Suri punya mimpi yang istimewa. Mimpinya adalah realiti, namun dia bisa berfantasi menggerakkan mimpi mengikut kemahuannya. Magis di dalam mimpi adalah senjata utamanya. Mimpi-mimpinya mempertemukan dia dan Lang Surya, yang menyimpan bunga cempaka pemberian Puteri Kenanga Mulya. Dia mengembara ke dalam mimpi bagi mendapatkan kembali bunga cempaka miliknya.
Plot demi plot menyatukan pengembaraan mereka hingga ditimpa musibah yang tidak terjangka. Dapatkah Lang Surya menembus godaan-godaan sepanjang perjalanan ke Gua Khayalan? Berjayakah Rimau Seru dalam pencariannya, juga meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang pembunuh upahan? Mampukah mimpi-mimpi Cempaka Suri mengembalikan bunga cempaka miliknya? Apakah mereka bertiga lolos daripada malapetaka yang menimpa mereka?
Baru sahaja aku google lagi tadi, jumpa pulak kesinambungan kepada novel ini yang bertajuk Duyung Pulau Kenchana - Mimpi Cempaka Suri.
2. Siri Saga Takluk Jagat 1: Bisikan Ariasha dan Saga Takluk Jagat 2: Amukan Indera Bumi karya Zaki Zainol
Sinopsis :
Kisah epik fantasi Melayu purba yang berlaku di Tanah Ini, mengisahkan pengembaraan Bayu Adi Jata, seorang yatim piatu yang merentas belantara mendapatkan kembali keris warisan yang hilang daripada simpanan serta mencari pembunuh datuknya. Pengembaraannya mempertemukan dirinya dengan Puteri Ariasha Cinta Castra, seorang puteri orang Bunian, Zilastra Dunia Kencana, seorang pendekar yang bergelandangan dan Budak Tiada Wajah, seorang pemuda yang tidak pernah menonjolkan wajahnya. Dalam pengembaraannya juga, Bayu terserempak dengan seorang lagi perwira bengis yang rahsia yang turut mencari keris yang sama. Daripada sebuah pencarian biasa, Bayu Adi jata terperangkap dalam pergolakan dua negeri. Keadaan menjadi lebih rumit apabila munculnnya sebuah kuasa gelap yang sukar disekat.
3. Siri Saga Artakusiad karya Ahmad Patria Abdullah
Sebuah karya yang aku klasifikasikan sebagai sebuah karya agung dan telah menjadi lagenda dalam dunia penulisan novel fantasi melayu tanahair. Seperti yang pernah aku kongsikan sebelum ni korang boleh baca sinopsisnya di sini.
Novel ini telah diulang cetak pada tahun 2010 kalau tak silap akulah. Gambar di atas adalah rupa kulit novel ini yang terbaru. Abang aku telah membeli kembali keenam2 siri novel ini. Novel ketujuh dan kelapan dah pernah ada dalam pasaran tapi aku tak ingat judulnya.
Sekian sahajalah perkongsian aku tentang novel2 fantasi melayu ni. InsyaAllah aku akan beli, dapatkan dan kumpul semua sekali sebagai koleksi peribadi aku.
Terima kasih kerana sudi membaca. Wassalam.
0 komen:
Catat Ulasan